Thursday, July 3, 2008

Talqin untuk kekasih...


"Tiap yang bernyawa akan mati dan akan disempurnakan balasan-balasan pahala kamu pada hari Akhirat kelak. Barang siapa yang dielakkan daripada tercebur ke dalam neraka dan sebaliknya dimasukkan pula ke dalam syurga maka dialah orang yang benar-benar beruntung dan berjaya. Adalah hidup di dunia ini ialah hidup yang suka-suka buat sementara yang penuh dengan tipu daya."

"Daripada tanah kamu telah KAMI jadikan iaitu untuk mencari ganjaran dan pahala, ke dalam tanah kamu KAMI kembalikan iaitu dijadikan untuk habuan ulat dan tanah juga."

"Dengan nama ALLAH dan dengan keagungan ALLAH, berpunca daripada ALLAH dan atas nama agama Muhammad Rasullulah inilah dia kiamat iaitu sesuatu yang telah dijanjikan oleh ALLAH dan benar sesungguhnya Rasul-Rasul itu bahawa tiadalah kiamat itu melainkan tempikan yang sekali sahaja dan tiba-tiba manusia itu semua mati."

"Wahai hamba ALLAH anak daripada hamba ALLAH, semoga kamu dikurniakan rahmat ALLAH. Dunia ini telah pergi meninggalkan kamu dan kamu pula telah meninggalkan segala perhiasan dunia. Sekarang kamu berada di alam barzakh iaitu satu alam yang bakal kamu tempuh untuk menunggu datangnya hari Akhirat."

"Oleh yang demikian, janganlah kamu lupa ikatan janji taat setiamu yang ada semasa kamu meninggalkan kami waktu menuju ke alam Akhirat iaitu pengakauan tiada Tuhan melainkan ALLAH dan Nabi Muhammad itu Pesuruh ALLAH."

"Wahai polan binti polan, apabila dua malaikat yang kedua-duanya sebagai wakil dari ALLAH untuk menyoal kamu maka janganlah engkau terkejut, takut dan merasa gerun kerana kedua-duanya malaikat itu sama seperti kamu juga sebagai makhluk ALLAH S.W.T."

"Wahai polan binti polan, bila kedua-dua malaikat itu menyoal kamu:
"Siapa Tuhan kamu?"
"Siapa Nabi kamu?"
"Apa agama kamu?"
"Apa aqidah kamu?"
"Apa ikutan kamu?"
"Apa kitab kamu?"
"Siapa saudara kamu?"
"Apa keyakinan semasa kamu mati?"

'Wahai polan binti polan, jawablah:
"ALLAH Tuhanku."
"Muhammad Nabiku."
"Islam agamaku."
"Al-Quran ikutanku."
"Orang-orang Islam seluruhnya adalah saudaraku "
"Aku telah hidup dan aku telah mati, tetapi aku tetap dngan pengakuan bahawa tiada TUHAN yang disembah sebenar-benarnya melainkan ALLAH dan Muhammad itu sebenar-benarnya Pesuruh ALLAH."

"Peganglah wahai hamba ALLAH dengan keterangan ini dan ketahuilah bahawa sesungguhnya engkau akan tetap tinggal di alam barzakh ini hingga ke suatu masa apabila sekalian penghuni kubur dibangkitkan kerana hendak dibicara dan diadilkan di depan ALLAH S.W.T."

"Ketahuilah, wahai hamba ALLAh bahawa sesungguhnya mati itu benar, masuk ke liang kubur itu benar, soalan-soalan Munkar dan Nakir itu benar, bangkit semula dari kubur adalah benar, pembicaraan kerana menghisab buruk baik amalan yang telah dilakukan adalah benar, timbangan menentukan mana yang lebih banyak di antara kerja-kerja yang baik daripada kerja-kerja yang buruk adalah juga benar, meniti Siratul Mustaqin menentukan sama ada ke syurga atau ke neraka adalah benar, syurga benar dan neraka juga benar dan bahawa sesungguhnya ALLAH akan menghidupkan semula sekalian penghuni-penghuni kubur adalah benar."

Firman ALLAH S.W.T. yang bermaksud:

"Wahai jiwa yang tenang dan tenteram, kembalilah kamu kepada TUHAN-mu dalam keadaan meredhai dan diredahi. Masuklah kamu ke dalam golongan hamba-hamba-KU yang soleh dan masuklah kamu ke dalam syurga-KU." (Al-Fajr: 27, 28,29, 30)

Rasullullah s.a.w. bersabda:

"Keberangkatan mayat itu diiringi oleh tiga hal iaitu keluarganya, harta bendanya dan amal perbuatannya. Yang kedua akan pulang kembali dan yang satunya akan tetap tinggal. Yang pulang ialah keluarga dan harta bendanya, sedang yang tinggal ialah amalannya." (Bukhari dan Muslim)